Solat sunat muakkad berjamaah ialah; Solat Sunat Hari Raya, Solat  Sunat Khusuf dan Kusuf, Solat Sunat Istisqa’ dan Solat Sunat Tarawih. 
Solat Sunat Tarawih, 
(1)  ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenarnya, seperti yang  disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).
Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat.  Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat,  maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah. Kalau sembahyang itu 20  rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima  tarawih. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang 
 boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.
HlKMAH
Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan 
 “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. 
 Tujuan solat berehat-rehat untuk  mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping  memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang,  khususnya orang yang berumur.
Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan  Ramadhan. Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya  wajib. Baginda bersabda: “Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan  cermat(ihtisaban)
(2) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah)
(3)
Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat,  antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “lailatul qadar”. Solat  tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang. 
 Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”.  Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan  Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara  melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.
CARA
Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan 
selepas solat Isya.  Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan  sebagainya. Terdapat hadis Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa 
Saidatina Aisyah r.anha, isteri Rasulullah s.a.w, melihat baginda bersolat tarawih di rumah lapan rakaat.
(4) Dan terdapat amalan sahabat Nabi s.a.w yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman Nabi, iaitu 
Ubai bin Kaab r.a, yang mendirikan solat ini 20 rakaat (juga diriwayatkan oleh Bukhari).
(5)
Terdapat juga amalan 
 penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat, dan dalam 
hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat.
(6)  Mereka berpendapat bahawa solat tarawih (qiyam Ramadhan) adalah nama  lain bagi solat mutlak malam (qiyamul lail}. Jika qiyamullail tidak  dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.
Solat sunat Ramadhan lapan rakaat, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.anha di rumah, adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat Islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan
 Imam Shafei, Hanbali dan Hanafi.  Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab r.a  di masjid. Beliau, yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi s.a.w, zaman  Saidina Abu Bakar r.a dan zaman Saidina Umar r.a, melakukan solat  tarawih 20 rakaat,
(7) sehingga 
Saidina Umar r.a pun menetapkan solat tarawih berjamaah di masjid 20 rakaat.
(8)
Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita  mempunyai pilihan, keupayaan dan kehendak sendiri. Sebabnya, solat  tarawih ini ibadat tambahan, dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian  dan ketaatan kepada Allah, maka 
Rasulullah s.a.w menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan (9), keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan, atau perlu ditambah hingga 20, itu hanyalah pilihan.
Perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur, perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: 
“Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam? Maka Abdullah bin Amru menjawab: 
Benar! Maka sabda Nabi: “
Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak, dan mata kamu pun ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
(10).
Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam.  Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat  atau surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang, atau  berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan  cermat. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.
Segala bacaan di luar solat, seperti  salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat  tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk  bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia  tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.
Nota: 
Sekiranya solat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya. Namun
 sekiranya berjamaah di masjid umum,  maka pendapat yang terpilih ialah bacaan imam haruslah ringkas, yang  terdiri lima atau enam ayat untuk satu rakaat. Perkara yang perlu  dijauhi ketika mendirikan solat sunat, apa jenis solat sunat pun, ialah  menjauhkan sikap riya’. Hal ini ditegah Allah: “Celakalah (orang yang  solat) yang mereka menunjuk-nunjuk. (al-Ma’un :6)
(11)
Lafaz niat:
 أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
Niat di hati: “Sengaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
PERINGATAN:
Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan dengan cara duduk  (solat fardhu tidak sah dilakukan sambil duduk sekiranya berkuasa  berdiri)
(12)
Nota
(1) Nawawi mengatakan semua ulama sepakat tentang hukumnya. Lihat al-Majmu’, Juz 4, hlm 37.
(2) Mengikut Syaukani, ertinya solat yang ikhlas dan tidak riya’. Lihat NailulAutar, Juz 3, hlm 50.
(3) Sahih  Bukhari, Juz 2, hlm 251; al-Jami’ al-Sahih, Juz 2, hlm 176; Sunan Abu  Daud, Juz 2, hlm 49; Sunan al-Nasai, Juz 4, hlm 155; Sunan Ibnu Majah,  Juz 1, hlm 420; Sunan al-Darimi, Jilid 1, hlm 474; al-Muwatta’, Juz 1,  hlm 113.
(4) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 253.
(5) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(6) Al-Majmu’, Juz 5, hlm 38.
(7) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(8) al-Baihaqi, Juz 2, hlm 496.
(9) Bukhari, Juz 2, hlm 48; Muslim, Juz 2, hlm 189.
(10) Bukhari, Juz 2, hlm 245; Muslim, Juz 3, hlm 162.
(11) Quran, surah al-Ma’un (107), ayat 6.
(12) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 40; Muslim, Juz 2, hlm 163.
Rujukan:
1. Haji Mohamad Jajuli Abd. Rahman. 2005. 
Solat-solat Sunat Hikmah Dan Cara. Selangor : Wholesale-mart Business Point Sdn Bhd. m.s 37-41
2. 
  Ad-Diyari.com