18 Ogo 2010

Solat Sunat Tarawih


Solat sunat muakkad berjamaah ialah; Solat Sunat Hari Raya, Solat Sunat Khusuf dan Kusuf, Solat Sunat Istisqa’ dan Solat Sunat Tarawih.

Solat Sunat Tarawih, (1) ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenarnya, seperti yang disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).
Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah. Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima tarawih. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.

HlKMAH

Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. Tujuan solat berehat-rehat untuk mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.
Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan. Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda: “Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban)(2) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah)(3)
Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang. Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”. Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.

CARA

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isya. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan sebagainya. Terdapat hadis Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa Saidatina Aisyah r.anha, isteri Rasulullah s.a.w, melihat baginda bersolat tarawih di rumah lapan rakaat.(4) Dan terdapat amalan sahabat Nabi s.a.w yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman Nabi, iaitu Ubai bin Kaab r.a, yang mendirikan solat ini 20 rakaat (juga diriwayatkan oleh Bukhari).(5)
Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat, dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat.(6) Mereka berpendapat bahawa solat tarawih (qiyam Ramadhan) adalah nama lain bagi solat mutlak malam (qiyamul lail}. Jika qiyamullail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.
Solat sunat Ramadhan lapan rakaat, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.anha di rumah, adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat Islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hanbali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab r.a di masjid. Beliau, yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi s.a.w, zaman Saidina Abu Bakar r.a dan zaman Saidina Umar r.a, melakukan solat tarawih 20 rakaat,(7) sehingga Saidina Umar r.a pun menetapkan solat tarawih berjamaah di masjid 20 rakaat.(8)
Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan, keupayaan dan kehendak sendiri. Sebabnya, solat tarawih ini ibadat tambahan, dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan (9), keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan lapan, atau perlu ditambah hingga 20, itu hanyalah pilihan.
Perlu diingatkan ialah manusia perlu menjaga kesihatan, perlu tidur, perlu rehat seperti yang disabdakan oleh Nabi: “Adakah kamu yang memberitahu aku, kamu berpuasa pada siang hari dan solat sepanjang malam? Maka Abdullah bin Amru menjawab: Benar! Maka sabda Nabi: “Jangan buat begitu. Tetapi puasalah, bukalah, solatlah dan tidurlah. Badan kamu ada hak, dan mata kamu pun ada hak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)(10).
Solat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Quran, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.
Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Nota:

Sekiranya solat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya. Namun sekiranya berjamaah di masjid umum, maka pendapat yang terpilih ialah bacaan imam haruslah ringkas, yang terdiri lima atau enam ayat untuk satu rakaat. Perkara yang perlu dijauhi ketika mendirikan solat sunat, apa jenis solat sunat pun, ialah menjauhkan sikap riya’. Hal ini ditegah Allah: “Celakalah (orang yang solat) yang mereka menunjuk-nunjuk. (al-Ma’un :6)(11)

Lafaz niat:


أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
Niat di hati: “Sengaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”

PERINGATAN:

Semua solat sunat bersendirian boleh dilakukan dengan cara duduk (solat fardhu tidak sah dilakukan sambil duduk sekiranya berkuasa berdiri)(12)

Nota

(1) Nawawi mengatakan semua ulama sepakat tentang hukumnya. Lihat al-Majmu’, Juz 4, hlm 37.
(2) Mengikut Syaukani, ertinya solat yang ikhlas dan tidak riya’. Lihat NailulAutar, Juz 3, hlm 50.
(3) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 251; al-Jami’ al-Sahih, Juz 2, hlm 176; Sunan Abu Daud, Juz 2, hlm 49; Sunan al-Nasai, Juz 4, hlm 155; Sunan Ibnu Majah, Juz 1, hlm 420; Sunan al-Darimi, Jilid 1, hlm 474; al-Muwatta’, Juz 1, hlm 113.
(4) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 253.
(5) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(6) Al-Majmu’, Juz 5, hlm 38.
(7) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
(8) al-Baihaqi, Juz 2, hlm 496.
(9) Bukhari, Juz 2, hlm 48; Muslim, Juz 2, hlm 189.
(10) Bukhari, Juz 2, hlm 245; Muslim, Juz 3, hlm 162.
(11) Quran, surah al-Ma’un (107), ayat 6.
(12) Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 40; Muslim, Juz 2, hlm 163.

Rujukan:

1. Haji Mohamad Jajuli Abd. Rahman. 2005. Solat-solat Sunat Hikmah Dan Cara. Selangor : Wholesale-mart Business Point Sdn Bhd. m.s 37-41
2. Ad-Diyari.com


Catat Ulasan

Terima kasih kerana meninggalkan jejak

0 ulasan:



 
Copyright @2019 Ayu Balqishah | All Right Reserved
Designed By SF Design Lab | Powered By
Blogger.com