Tajuk : Usah Lagi Seorang Diri
Tema / Genre : Lif / Seram
Penulis : Ayubalqishah
BUNYI WhatsApp dari Honor 5x Dhia, telah
memutuskan lamunannya sedari tadi yang masih berteleku di tikar sejadah. Siapa
pula pagi-pagi buta ni, hantar WhatsApp. Dhia menggeretu di dalam hati. Lalu Dhia
bangun dan terus mencapai telefon bimbitnya yang berada di meja sisi katil. Dhia duduk di
kepala katil, bantal tidur diletakkan di belakang tubuhnya, lalu bersandar
santai. Telekung masih setia terbungkus ditubuhnya.
Kau
jadi ke datang awal hari ni? - Nani
Mestilah
jadi. Akukan memang hari-hari orang pertama yang akan terpacak depan 'office'
selepas pak 'guard'. - Dhia
'Okay'
cun! Aku tunggu sana. Jam 7 aku sampai. Kau jangan lupa, belikan aku nasi lemak
Cik Timah tu. Lauk sambal sotong. - Nani
Insya
ALLAH. - Dhia
Dhia
Adriana, merupakan pekerja baru di Kemboja Holding sebagai Interior
Designer. Dan dia juga merupakan pekerja paling awal sampai ke pejabat.
Baginya, selepas solat subuhlah, rezeki mudah nak masuk. Itulah yang dia pegang
sejak dari bangku sekolah lagi.
Dhia
lihat jam bulat yang tergantung di dinding bilik, sebelah kanan. Baru pukul
6.15 pagi. Daripada rumah ke pejabat hanya makan masa 10 minit sahaja untuk
sampai. Dhia baru perasan, dia masih lengkap bertelekung. Dhia buka telekung,
lalu dililat kemas dan diletakkan di atas katil.
Dhia
capai baju kerja yang sudah siap digosok malam tadi bersama tudung Adijuma
pilihannya. Pantas Dhia bersiap-siap, wajah dioles dengan solekan tipis. Jam
tangan Swatch dikenakan ke pergelangan tangan kanannya. Lalu Dhia mencapai
kunci kereta Myvi yang sudah tiga tahun memberi khidmat padanya.
SELESAI urusan jual beli nasi lemak dan
sedikit kuih, kereta Dhia terus meluncur laju membelah jalan. Tidak lama
kemudian, Dhia sampai di depan pintu masuk utama pejabatnya yang terletak di
tingkat bawah bangunan. Seperti kebiasaannya, kereta Dhia akan berada
betul-betul di hadapan pintu pejabat. Dhia lihat-lihat keliling mencari Nani.
Hisy! Nani ni... betul ke tidak dia ni. Janji nak sampai awal sama-sama. Dhia jeling
jam di tangan, lagi 5 minit nak masuk jam 7.00 pagi.
"Kau...
kalau dengar apa-apa dalam office ni, kau buat tak tahu aje, okay? "
Pesanan dari Nani sebagai pekerja lama di Kemboja Holding dipegang kemas.
Bukannya
Dhia tidak pernah diganggu, sudah banyak kali Dhia sering diusik oleh sesuatu
yang dia sendiri tidak tahu dari mana wujudnya. Namun bagi Dhia, selagi benda
mengganggu itu tidak wujud di hadapan matanya sendiri, selagi itulah baginya perkara
itu, tidak perlu diambil pusing. Buang masa!
Tok!
Tok!
Cermin
keretanya diketuk, tetapi tiada kelibat. Dhia buka pintu laju, siang-siang apa
nak ditakutkan.
"Ba!"
Nani sergah dari belakang.
"Opocot!
Terkejutnyalah sangat..." Dhia jelir lidah pada Nani dan jongket kening
sebelah. Sudah macam budak-budak lagaknya.
"Jomlah
aku lapar ni," ujar Nani sambil mengosok-gosok perutnya yang ramping.
"Asal
kau tak pakai tudung hari ni? Bukan ke hari Jumaat, kau selalu pakai instant
shawl? " Dhia soal Nani sambil anak matanya pandang Nani atas bawah.
"Parah
kau ni, hari pun dah tak ingat. Hari nikan hari Sabtu. Hari Sabtu, mana ada aku
pakai tudung," Nani senyum senget pada Dhia.
"La...
ya ke?" Dhia tepuk dahi. Baru tujuh bulan dia di situ, kalau setahun entah
apa lagilah yang dia akan lupa.
"Emm...
jomlah naik. Kita melahap dulu. Lepas tu, aku nak kena siapkan design bilik
Datin Maznah tu. Dahlah kena submit hari ni," Dhia tarik lengan
Nani menuju ke pintu utama. Dhia berikan
senyuman manis pada Encik Kamal, pengawal keselamatan Kemboja Holding.
"Terima
kasih uncle, sebab jagakan office kami dari hantu," sempat
Nani bergurau sebelum ikut masuk sama dengan Dhia. Butang lif ditekan.
"Cepatlah!
Kata lapar tadi," Dhia terjerit sedikit memanggil Nani yang terkial-kial
berjalan dengan kasut tumit tinggi tiga incinya itu.
"Ya...
ya. Sabarlah. Kaki aku ni tiba-tiba pula sakit," jawab Nani lantas cuba
berjalan pantas ke lif.
Memandangkan
pejabat kreatif, berada di tingkat lapan, Dhia dan Nani terpaksa menggunakan
lif untuk sampai ke pejabat mereka. Kalau guna tangga, boleh 'tumpo' kata
orang Perak.
"KAU confirm ke nak stay ni?"
Soal Nani apabila Dhia menyampaikan hasratnya untuk kerja lebih masa sebentar
tadi.
Dhia
yang masih khusyuk mengadap laptop beserta kertas-kertas kerja berselerakan
di mejanya, langsung tidak menjawab atau pun menoleh pada Nani yang sedang
sibuk mengemas untuk pulang.
Nani
pandang sekejap pada Dhia," aku balik dululah. Kau jangan lupa tutup semua
lampu nanti. Jangan lupa kirim salam dekat hantu office ni tau."
Dhia
berkalih pada Nani yang berdiri di hadapan meja. "Ucapan tak ada ke?"
Soal Dhia dengan wajah serius.
"Dengan
ucapan, tengah buat apa tu," tanpa tunggu balasan daripada Dhia, Nani
tinggalkan Dhia di meja dengan lambaian selamat tinggal.
"Kurang
asam kaukan. Dah cakap macam tu, boleh blah gitu aje," ujar Dhia.
Matanya tak lepas pandang pada Nani sehinggalah sahabat baiknya itu lesap ditelan
lif.
Tanpa
memikirkan apa-apa, Dhia meneruskan pekerjaannya yang perlu dihabiskan hari ini
juga. Dia perlu emailkan pada Ketua Bahagian Kreatif untuk dinilaikan. Setelah
itu, ketuanya sendiri yang akan emailkan kepada Datin Maznah. Sekiranya Datin
Maznah setuju dengan semua rekaan untuk setiap bilik tidur di rumahnya itu,
barulah Dhia boleh tarik nafas lega. Dia perlu siapkan lima design untuk
setiap empat bilik yang diminta. Masa pula hanya satu minggu yang diberi, dan
hari ini hari terakhir. Dhia tiada pilihan selain daripada stayback.
DHIA ADRIANA terdengar bunyi orang menaip
saat dia menekan tetikus. Klik! Klik! Dhia tekan lagi. Maklumlah guna photoshop
ni, mana mungkin tak guna tetikus. Serentak dengan itu, Dhia dengar bunyi
orang menaip. Sama banyak dengan jumlah kliknya pada tetikus. Dhia belum ada
rasa takut lagi, sebab dia dah pun setkan mindanya dengan perkara positif.
Mungkin ada lagi orang yang sedang kerja lebih masa seperti dia.
Tiba-tiba
Dhia teringat yang dia perlu cek email, dan membalas email Encik Farhan yang
bekerja dibahagian marketing. Saat inilah Dhia tidak tahu, ada sesuatu
sedang cuba menguji tahap keberanian Dhia Adriana. Dari kejauhan 'sesuatu' itu
sedang menyeringai tersenyum padanya.
Dhia
buka email lalu menekan-nekan papan kekunci. Tap! Tap!
Dhia
pandang belakang. Tak ada pula orang. Dari mana juga bunyinya ni. Takkan benda
ni bunyi dua kali, kalau aku taip. Dhia renung pula kiri-kanan. Bulu tengkuknya
meremang tiba-tiba. Dhia gosok batang tengkuk kuat-kuat sambil baca bismillah.
Tanpa
fikir panjang, Dhia teruskan juga menaip. Tiba-tiba dia terdengar pula bunyi
orang menaip sama seperti dia menaip, betul-betul sebelah dia. Iaitu tempat
duduk Nani! Dhia pandang kanan.
"Nani...
Kau jangan nak main-main, aku tak takutlah setakat tiru-tiru ni," ujar
Dhia selamba. Lalu jari-jemarinya kembali ligat menaip. Dan serentak itu juga,
terdengar taipan yang sama, dari arah yang sama juga! Dan macam copypaste.
Dhia
taip selaju boleh, bunyi menaip dari jiran sebelah juga turut sama laju. Dhia
geram. Pantas Dhia bangun dan pergi ke tempat Nani.
Sampai
di meja Nani, apa pun tak ada. iMac Nani pun gelap. Sah dia kena main.
"Tolonglah jangan ganggu aku... Aku ada benda penting nak siap ni. Tolong
ya," rayu Dhia pada meja kosong. Macam bodoh pun ada.
Dhia
duduk kembali ke kerusi. Lalu sambung menaip yang tidak habis tadi. Namun tidak
sampai 5 minit dia memujuk agar tidak diganggu, akhirnya benda itu meniru gerak
bunyi menaipnya kembali. Dhia geram. Panas hati. Semuanya menjadi satu.
Pam!
Dhia
ketuk meja dengan kuat, tanpa segan silu Dhia bersuara lantang,"kau dah
kenapa ha? Tak ada kerja erk? Kalau berani muncullah depan aku, aku bagi kau
kerja."
Dhia
seolah mencabar kredibiliti 'sesuatu' itu. Hampir setengah jam, Dhia damai dan
tenang tanpa sebarang bunyi. Jam di dinding pejabat dikerlingnya. Hampir senja
juga, baru nak siap kerja. Semua kau punya fasallah bunyi yang datang entah dari
mana. Hatinya berbisik. Dhia tutup semua tenaga elektrik berdekatan meja. Saat
dia mahu matikan suis pengecas telefon bimbitnya, tiba-tiba...
Pap!
Bunyi
'keyboard' jatuh ke lantai dengan kuat. Tubuh Dhia terasa sejuk beku.
Menggigil tangan tatkala mencabut pencucuh 'charger' dari telefon
bimbitnya. Pantas Dhia capai tas tangan Coach miliknya dan berjalan laju menuju
ke pintu lif.
Dhia
tekan banyak kali butang lif untuk turun ke bawah. Secara mendadak, bulu roma
di tengkuk dan di tangan sudah meremang.
Jantung Dhia berdegup laju. Dhia menyapu-nyapu tangannya antara satu sama lain,
bagi mengurangkan rasa takut yang sudah pun berjaya menguasainya.
Menanti 5 minit pintu lif untuk terbuka, terasa bagaikan
berjam-jam lamanya. Padahal setahu Dhia,
mana ada orang lain lagi dah dekat tingkat atas, yang ada pengawal ajelah. Itupun
di tingkat bawah.
Dhia
tekan lagi sekali butang lif untuk turun.
Ting!
Akhirnya
pintu lif terbuka luas. Dhia menghembus nafas lega. Saat sampai di tingkat
tiga, tiba-tiba pintu lif terbuka sendiri. Suasana di tingkat tiga sememangnya
sudah gelap-gelita dan sunyi. Lekas-lekas Dhia tekan butang tutup sambil baca bismillah.
Saat
Dhia terbatuk, pandangan Dhia tertunduk sedikit dan mata pula terpejam beberapa
saat. Apabila Dhia membuka mata, dia
terlihat dirinya sedang tersengih di dalam cermin, sedangkan dia tidak
melakukan itu.
Dhia
kaku. Keras. Tangan langsung tak boleh bergerak. Jantung seakan berhenti, peluh
mula menitik walaupun keadaan sebenarnya adalah sejuk. Tiba-tiba dirinya yang kejung
itu, di dalam cermin sedang gelak-gelak tanpa bunyi sambil menutup mulut
menggunakan kedua-dua belah tangan.
HARI Isnin, kecoh mengenai Dhia yang
ditemui pengsan oleh Encik Kamal. Hampir seminggu Dhia di masukkan ke hospital
kerana demam panas. Nasib baiklah Dhia tidak meracau.
Sungguh
besar impaknya di atas kejadian yang berlaku di dalam lif Kemboja Holding tersebut.
Sejak dari hari itu, Dhia takut menaiki lif seorang diri. Melihat diri di
cermin pun dia tak berani. Nani juga tidak lagi bergurau perkara yang
bukan-bukan. Tiada siapa juga yang sanggup kerja lebih masa atau pun masuk ke
dalam lif seorang diri, melainkan secara berkumpulan termasuklah bos besar
Kemboja Holding.