Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak  elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari  sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana  sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah  melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk  menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan  salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang  terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya  adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga  hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan  penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-
1.  Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan  puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula  individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti  gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul  masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat  sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain  timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat  fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut  Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr  Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib  tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain,  kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi  semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan  kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan  kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu  a’lam.
3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula  boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha  dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan  kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya  : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah  aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)
4.  Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti)  maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh  merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya  mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam  sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang  mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya  tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan  tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh  Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa,  Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah  bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu.  Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad  ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di  dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan  hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya:  “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari  dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr  (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita  dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa  Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap  puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka  layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia  dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting,  tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya  seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan  semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak  dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin,  An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan  yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka  yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk  mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya  adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602),  Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar,  panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.
Sekian
_________
*Tambahan
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.
Imam  as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab  'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah  dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa  qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).
-  Imam Jalaluddin  as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah  diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.
 
- MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:
 
"Alhamdulillah.  Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa  Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat  mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran  sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat,  dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya  mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha'  puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi  jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan  qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka  masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan  selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."
  
jika  terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan  puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam  kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari  didalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang  Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan  pandangan yang lebih kepada kebenaran.
[Sharh al-Mumthi' 6/448].
terima kasih untuk maklumat ini...saya ambil dari 
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/