tahun 2011 mcm best n ramai yg pilih tahun ini utk mngikat tali phubungan..sekadar ingin bkongsi..jom sama2 bc..mn tahu anda juga memilih tahun ini utk pergi lebih jauh hbgan anda dgn sidia..
MENILIK ATAU MERISIK
Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.
Catat Ulasan
Terima kasih kerana meninggalkan jejak
0 ulasan: