saje je sy nak buka kisah hantu ni...
Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan per. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.
Islam menghapuskan
Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Manusia digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan selalu berdoa 'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam - Auzubillah himinash syaitanirrajim'.Bagaimanapun kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang terkeliru beza antara Islam dan kebudayaan Melayu, yang mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Sebagai contoh mandi Safar pernah disalah-anggap satu amalan Islam, sehinggalah para ulamak tampil kehadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan.
Bagaimanapun budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibubapa anak-menakutkan anak-anak menyebabkan anak mereka benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu wujud.
Peranan media massa
Filem hantu Melayu seperti 'Pontianak', 'Dendam Pontianak', dan 'Pontianak Gua Musang' mendapat sambutan hangat daripada para penonton pada masa itu. Akibat kejahilan dalam agama dan ramai orang yang tidak terpelajar pada ketika itu, filem-filem itu mempengaruhi mereka. Ini mendorong kerajaan untuk menghentikan pembuatan dan penayangan filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah. Bagaimanapun, cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah seperti majalah 'Mastika' dan 'Tok Ngah'. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa kebanyakan orang pada masa kini lebih terpelajar dan faktor kebanjiran masuk filem-filem hantu asing, ini telah mendorong kerajaan menarik balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000. Malah dokumentari alam ghaib seperti 'Filem Melangkah ke Alam Ghaib' dan 'Misteri Nusantara' di saluran TV3 turut membincangkan mengenai kewujudan hantu.Menghalau hantu
Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masaalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap sipesakit diganggu sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba mengobati pesakit.Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
- Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun. Cara ini telah difatwakan haram oleh ulama.
- Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
- Menurut keugamaan masing-masing.
Menurut cara perubatan Islam
- Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. Selain itu air yang dibacakan bacaan al Quran diberi munum bagi memulih/penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan fikiran daripada masaalah yang dihadapi.
- Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci. Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya.Dengan harapan, hiasan quran ini dapat menghalau jin tanpa beramal dengannya. Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan.