8 Jan 2012

10 Akibat Jahil Agama

Zaman tidak lama sebelum kedatangan  Nabi Muhammad s.a.w, dikenali sebagai zaman jahiliyyah. Ini kerana ajaran para nabi yang sebenar sudah jauh menyimpang dan terseleweng dari yang asal.

Dan malangnya, di zaman yang serba canggih dan maju dengan alat telekomunikasi dan media massa ini pun masih ramai lagi orang Islam yang amat jahil dengan agama, walaupun sudah begitu banyak tersebar buku-buku agama, ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan melalui pelbagai medium.

Daripada Anas r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadah yang jahil dan ulama yang fasik."   (Hadis riwayat Ibnu Adi)

Saidina Umar r.a pun pernah berbicara tentang hal ini dan dia juga takut akan kemunculan ulama suu' (ulama' jahat / ulama' dunia) dan ahli ibadah yang jahil ini.

Amat banyak kesan buruk akibat menjadi jahil agama, dan di sini saya hanya kemukakan 10 darinya sahaja untuk difikir-fikir dan direnung-renungkan bersama.


1 - Yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar.

Apabila sudah tidak diketahui mana yang disuruh agama, mana yang dilarang agama, maka akan terjadilah satu keadaan dimana yang salah dikatakan benar, dan yang benar dikatakan salah. Manusia akan hanya mengikut logik akal sendiri untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk TANPA panduan dari wahyu Allah melalui AlQuran dan AlHadith.

Mereka akan menjadi sesat dan akan menyesatkan orang lain pula , terutamanya orang-orang yang jahil sepertinya juga.  Mereka tidak akan rasa bahawa mereka salah, dan mereka akan mempertahankan pendapat mereka dengan sekeras-kerasnya kerana itulah yang mereka rasa betul, walhal bercanggah dengan syara'.

Dari Abdurrahman Al-Anshari r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membaca) dan sedikit di antara mereka yang mengerti agama, banyak umara’ (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang."  (Hadith Riwayat Thabrani).


2 - Mudah mengutuk dan menghina ulama'.

Akibat kejahilan, maka orang-orang jahil akan dengan mudahnya mengutuk para ulama' jika mereka mendengar suatu ucapan ulama' yang tidak memenuhi selera dan ideologi mereka. Walaupun ulama' itu menyebutkan sesuatu yang berlandaskan kepada AlQuran dan AlHadith, tetapi kerana sijahil tidak ada ilmu sebenar tentang agama, maka dengan mudah saja dia memandaikan dirinya sendiri dan menyanggah ulama'.

Kita bukan disuruh ta'asub kepada seseorang ulama', tetapi berpada-padalah dan jangan sampai menghina ulama' yang memperjuangkan Islam.  Ulama-ulama yang ada sekarang pun bukannya nabi, mereka bukan maksum (tidak ada dosa). Jangan kerana tersilap kata atau ucapan sedikit kita terus menghukum dengan berat dan menghinanya.

Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya)."  (Hadith Riwayat Ahmad).


3 - Membela orang-orang yang jahil sepertinya juga.

Apabila mereka sudah tidak mengenali mana yang benar dan mana yang bathil, maka mereka akan menyokong dan mempertahankan pendapat golongan yang mereka rasakan betul mengikut fikiran mereka.  Walaupun mereka sebenarnya telah mempertahankan kebathilan dan kemungkaran.

Sebagai contohnya golongan gay yang menyokong sesuatu yang dibuat oleh golongan gay lain. Mereka merasakan kononnya kasih sayang itu tanpa batasan, dan manusia tidak patut disekat untuk berkasih sayang walaupun sesama jantina. Itulah yang dirasakan terbaik oleh akal pemikiran mereka, sedangkan ianya bercanggah dan menyeleweng dari apa yang diperintah dan dilarang oleh Tuhan.

Memang nampak seperti bagus, kerana mereka melaung-laungkan kasih sayang. Tetapi mereka tidak sedar akibat melepaskan nafsu sesama jantina, kesannya amat lah buruk kepada diri manusia sendiri dan generasi masa depan. Penyakit-penyakit yang merbahaya dan berjangkit pun akan mudah dijangkiti sesama mereka, dan membawa masalah kepada orang-orang lain pula nanti.

Dan bayangkan jika semua manusia menjadi gay dan lesbian, siapa yang akan melahirkan anak nanti dan akan meneruskan zuriat manusia?  Tidakkah usaha untuk membela puak gay dan lesbian ini adalah salah satu usaha untuk memupuskan manusia?


4 - Mudah mempercayai tuduhan dan hasutan.

Apabila mereka sudah mempercayai sesuatu pihak, maka dengan mudahlah mereka akan terpengaruh dan mempercayai apa saja yang dibawa dan dikatakan oleh pihak itu. Tidak kira ianya ternyata salah dan merupakan fitnah, tetap akan dipercaya kerana keta'asuban dan pihak itu memenuhi selera mereka dan mungkin telah memberikan banyak nikmat kepada mereka. Sehingga mereka lupa, bahawa nikmat adalah kurniaan Tuhan, bukannya kurniaan manusia.

Ditambah lagi dengan antara taktik Illuminati untuk membrainwash / mempengaruhi manusia ialah melalui media massa seperti televisyen, radio, dan akhbar.  Sehinggakan ramai yang merasakan bahawa segala yang dilaporkan dalam televisyen dan radio itu adalah benar belaka, langsung tidak ada salah. Adakah radio dan televisyen itu maksum?

Dan tidak ketinggalan, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengawal radio dan televisyen utama sebagai alat untuk menjayakan misi politik mereka dan kekal berkuasa.


5 - AlQuran hanya menjadi bahan bacaan semata.

Ramai yang membaca AlQuran setiap hari, siap dengan lagu-lagu dan suara yang merdu. Tetapi berapa ramaikah yang membaca sambil memikirkan dan menghayati isi kandungannya? Adakah Allah Ta'ala menurunkan AlQuran agar kita membaca dengan berlagu dan bertajwid semata-mata TANPA menghiraukan apakah kandungan isinya dan apa yang Allah nak beritahu pada kita?

Adakah Allah sembang kosong dalam AlQuran?


6 - Hukum-hakam Allah akan direndahkan martabatnya dan dihina

Undang-undang dari Allah yang termaktub dalam AlQuran dan AlHadith akan diperlekehkan dan direndahkan martabatnya. Ini sudah berlaku dari zaman penjajah dulu lagi, kerana asalnya Undang-undang Islam sudah diamalkan sebelum kedatangan penjajah.

Tetapi selepas kedatangan penjajah, Undang-undang Islam dibuang, dan digantikan dengan Undang-undang British, yang sampai sekarang sebahagian besarnya masih digunakan lagi. Undang-undang Islam direndahkan kepada masalah-masalah nikah kahwin dan seumpamanya sahaja. Kedudukan Mahkamah Syariah yang menjalankan Undang-undang Islam terletak di bawah Mahkamah Majistret. Ini bermakna Undang-undang Allah diletakkan lebih rendah dari Undang-undang British. Begitu sedih sekali.

Nabi Muhammad s.a.w telah memberi peringatan tentang akan tiba masa Hukum Islam dicabut, seperti dalam hadis, "Tali yang disimpul untuk mengikat ajaran Islam  dirungkai satu persatu. Maka setiap kali dirungkai, orang ramai berpegang dengan simpulan yang masih ada. Yang pertama dirungkai ialah Hukum-hakam, dan yang paling akhir ialah solat".  (Hadith Riwayat Ahmad)

Hinggakan sekarang ini pun ada orang Islam yang mengatakan Hukum Hudud sudah tidak relevan lagi dipakai, tidak sesuai dengan keadaan zaman moden ini. Sedangkan Hukum Hudud adalah Hukum yang terkandung dalam AlQuranul Karim dan WAJIB dijalankan oleh pemerintah hingga lah ke Hari Kiamat.


7 - Amal ibadah tidak diterima oleh Allah s.w.t

Ini antara yang paling sedih didengar, kerana jika suatu amal ibadah itu dilakukan tidak menepati apa yang disuruh oleh Tuhan, maka amalan itu tidak akan diterima. Apa yang kita dapat hanyalah penat dan lelah semata-mata dan ianya menjadi sia-sia. Inilah akibat jika tidak ada ilmu tetapi berlagak pandai dan mengambil inisiatif sendiri tanpa panduan dari sumber-sumber yang betul.

Firman Allah S.w.t yang bermaksud ;”Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,  sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggung-jawabnya.”  (Surat Al-Israa’ : Ayat 36)

Rasulullah S.a.w bersabda yang bermaksud , “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak berasas kepada Sunnahku maka amalan itu ditolak (tidak diterima oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala).” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Syaitan-syaitan juga akan sentiasa menyuruh ahli ibadah yang jahil agar melakukan ibadah kerana mereka tahu amal-amal itu akan menjadi sia-sia dan memenatkan ahli badah itu semata-mata. Sebaliknya, kepada orang-orang alim, syaitan akan berusaha untuk membuat mereka malas beramal pula.


8 - Maksiat dan jenayah semakin berleluasa.

Apabila sudah jahil, yang mana satu dosa dan yang mana satu pahala pun sudah tidak dikenali. Begitulah juga akibat dari membiarkan pemerintah / pemimpin tidak melaksanakan Undang-undang Islam, maka jenayah dan maksiat akan semakin berleluasa.

Jika anda mahu tahu, wanita-wanita seksi yang bukan beragama Islam pun merasakan keseksiannya itu adalah perkara baik. Ada di antaranya yang merasakan dia telah memberi KEPUASAN kepada ramai lelaki, dengan kata lain dia telah membuat baik kepada ramai orang.

Kejahatan baginya hanyalah jika dia merompak, membunuh dan menyakiti orang lain. Sedangkan jika dia memakai pakaian seksi, itu bukannya satu kejahatan dan dia tidak mengkhianati sesiapa. Ini lah akibatnya jika kita hanya mengikut kepala otak sendiri tanpa panduan dari Tuhan. Sehinggakan kita lupa bahawa kesan dari seksi itu AMAT BURUK bagi diri seorang lelaki lain yang melihatnya.

Seseorang lelaki akan dirangsang nafsu seksnya jika terdedah kepada aurat-aurat wanita terutamanya yang meliuk lintuk dan seksi. Kesan yang lebih buruk akan berlaku pada lelaki yang belum berumahtangga, akan merasa tertekan dan ingin melepaskan nafsu syahwatnya. Maka jika seseorang itu lemah dan tidak ada iman, boleh mengundang kepada berlaku gejala seks bebas, merogol , seks dengan haiwan dan sebagainya.

9 - Akan terjadi perpecahan dan peperangan sesama sendiri

Sudah tentulah kesan dari tidak menjalankan Undang-undang Islam , akibat orang-orang Islam sendiri yang jahil tentang hukum-hakam agama, akan menyebabkan terjadinya perpecahan dan peperangan sesama sendiri.

".......Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “. (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Ramai yang bersuara agar kita semua bersatu padu, jangan berpecah-belah dan sebagainya, tetapi hanya sekadar memberi nasihat mengikut teori sendiri. Tetapi langsung tidak mahu menghayati dan mengambil pelajaran dari maksud hadith di atas.

Bagaimana mahu bersatu padu dan tidak berpecah belah jika pemimpin kita masih mengamalkan Undang-undang ciptaan manusia dan bukan Undang-undang Allah?  Adakah Nabi Muhammad s.a.w pun sembang kosong dalam hadith di atas?

"Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu,  kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian,   yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."  (Surah An-Nisaa' : Ayat 59)


10 - Generasi akan datang akan terdidik dalam keadaan jahil.

Kesan dari wujudnya orang-orang jahil, dia mungkin akan mengajar anak-cucunya dengan kejahilan juga sedikit sebanyak. Apa lagi jika dia tidak menghantar anak-anaknya untuk belajar agama dengan secukupnya.

Jika sekadar mengharapkan matapelajaran Agama Islam yang dipelajari di sekolah rendah dan menengah, itu sebenarnya sangat tidak mencukupi. Lagi pun ianya telah banyak ditapis dan asas pun belum cukup. Apa lagi anak-anak pun bukan semuanya belajar dan menghayati betul-betul matapelajaran Agama Islam di sekolah.


Kesimpulan

Maka ilmu agama WAJIB dipelajari kerana ia termasuk dalam Fardhu Ain. Usahkan ilmu agama, ilmu tentang mengetahui keadaan musuh pun digalakkan dipelajari dan dikaji. Kerana jika keadaan musuh diketahui, maka kita boleh bersedia untuk menghadapinya dan tahu bila musuh bertindak.  Jika kita tidak tahu, maka akan senang-senang lah kita akan ditipu dan diserang oleh musuh.

Menurut Al-Atsar (kata sahabat-sahabat dan orang terkemuka), antara lainnya ialah Ali r.a berkata, "Barangsiapa mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya dia tidak meninggalkan dari mencari syurga dan lari dari neraka, iaitu;

1 - Dia mengenal Allah, lalu mentaatinya.
2 - Dia mengenal syaitan, lalu mendurhakainya.
3 - Dia mengenal kebenaran, lalu mengikutinya.
4 - Dia mengenal kebathilan, lalu menjaga diri darinya.
5 - Dia mengenal dunia, lalu menolaknya.
6 - Dia mengenal akhirat, lalu mencarinya.

Abu Umamah Al-Bahili r.a berkata, "Tatkala Muhammad s.a.w diutuskan, lalu Iblis mendatangi tenteranya. Tentera itu lalu berkata, "Sesungguhnya telah diutus seorang nabi dan telah muncul suatu umat." Iblis itu bertanya, "Adakah mereka itu mencintai dunia?"  Tentera itu menjawab, "Ya".

Lalu Iblis menyambung, "Jikalau benar mereka itu mencintai dunia, nescaya aku tidak hiraukan bahawa mereka tidak menyembah berhala.  Sesungguhnya aku akan datang pada mereka, pagi dan petang, dengan 3 perkara;

1 - Mengambil harta dari bukan haknya.
2 - Belanjakan harta pada bukan haknya.
3 - Menahan harta dari haknya.

Dan kesemua kejahatan itu akan timbul dari yang tiga ini.  [Ihya Ulumuddin , Kitab tercelanya dunia]

Rujukan:

1 - Ihya Ulumuddin - Imam Al-Ghazali

2 - 40 hadith tentang peristiwa akhir zaman - Abu Ali al Banjari An Nadwi

syukran kepada http://unikversiti.blogspot.com di atas perkongsian yang amat berguna ini


Catat Ulasan

Terima kasih kerana meninggalkan jejak

0 ulasan:



 
Copyright @2019 Ayu Balqishah | All Right Reserved
Designed By SF Design Lab | Powered By
Blogger.com