18 Jun 2011,saya telah selamat di nikah dengan Shahrul Izhan..moga pernikahan kami dirahmati di dunia dan akhirat ....
"Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, ia diambil orang." Begitulah, antara lain, senikata lagu "Jangan Tunggu Lama-lama" nyanyian kumpulan Alleycats yang popular pada tahun 80an dahulu. Lagu ini menasihatkan para lelaki yang sudah mempunyai kekasih supaya cepat-cepat berkahwin agar kekasihnya itu tidak jatuh ke tangan orang lain. Dalam Islam, perkahwinan perlu dicepatkan bukan kerana bimbang kekasih jatuh ke tangan orang lain, tetapi kerana itulah yang dituntut oleh agama kerana dipercayai perkahwinan dapat menjauhkan manusia dari maksiat.
Walaupun lagu ini sudah berada di khalayak kita sejak 20 tahun yang lalu tetapi seolah-olah masyarakat kita tidak mengambil mesejnya kerana apa yang berlaku adalah sebaliknya. Statistik yang ada menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia berkahwin di usia yang semakin lewat. Perangkaan terbaru yang diperolehi daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2000 membuktikan keadaan ini.
JADUAL 1: PERATUS GOLONGAN YANG BELUM BERKAHWIN
Jangkamasa Golongan muda(20 - 34 tahun)(%) Wanita(20 - 34 tahun)(%)
1981 - 1990 43.2 60.2
1991 - 2000 48.1 68.5
* Sumber: Diubahsuai dari "Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2.
Jangkamasa Golongan muda(20 - 34 tahun)(%) Wanita(20 - 34 tahun)(%)
1981 - 1990 43.2 60.2
1991 - 2000 48.1 68.5
* Sumber: Diubahsuai dari "Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2.
Jadual di atas menunjukkan bahawa berlaku peningkatan kepada peratusan golongan muda (20 - 34 tahun) yang belum berkahwin dan peratusan wanita (20 - 34 tahun) yang belum berkahwin di antara tahun 1981 - 1991 dan 1991 - 2000.
Fenomena melewatkan perkahwinan ini sebenarnya berlaku kepada kedua-dua jantina. Ini dapat dilihat dari statistik umur minima perkahwinan pertama.
JADUAL 2 : UMUR MINIMA PERKAHWINAN PERTAMA
Tahun Lelaki (tahun) Wanita (tahun)
1980 26.2 23.5
1991 28.2 24.7
1994 Tidak dinyatakan 24.9
2000 28.6 25.1
*Sumber: Diubahsuai dari
'Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2. dan kertaskerja yang bertajuk "The Family in the 21st Century. Country Perspective : Malaysia" yang dibentangkan oleh Fatimah Saad di International Family Conference yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Oktober 2001.
Tahun Lelaki (tahun) Wanita (tahun)
1980 26.2 23.5
1991 28.2 24.7
1994 Tidak dinyatakan 24.9
2000 28.6 25.1
*Sumber: Diubahsuai dari
'Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2. dan kertaskerja yang bertajuk "The Family in the 21st Century. Country Perspective : Malaysia" yang dibentangkan oleh Fatimah Saad di International Family Conference yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Oktober 2001.
Jadual di atas menunjukkan kecenderungan berkahwin lewat dalam masyarakat sama ada di kalangan lelaki mahupun wanita. Sebagai contoh, pada tahun 1980, rata-rata wanita berkahwin pada usia 23 tahun manakala lelaki berkahwin pada usia 26 tahun. Tetapi, pada tahun 2000, rata-rata wanita berkahwin lebih lambat iaitu pada usia 25 tahun manakala lelaki berkahwin pada usia 28 tahun.
Jadi, melalui kedua-dua statistik ini didapati bahawa memang ada kecenderungan di kalangan ahli masyarakat untuk berkahwin lewat.
Punca-punca Perkahwinan Ditangguhkan
Banyak sebab mengapa perkahwinan ditangguhkan. Malah, kita akan dapati bahawa punca-punca ini sama sahaja di kalangan wanita dan lelaki.
Pertama ialah faktor revolusi pendidikan. Berbanding dengan zaman dahulu, majoriti orang muda kini melanjutkan pelajaran sehingga ke Tingkatan 5. Jadi, mereka perlu menunggu sehingga tamat sekolah sebelum boleh berkahwin dan ini bermaksud sehingga berusia 17 tahun. Bagi yang menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi, tempoh menunggu ini dilewatkan lagi sehingga mereka menamatkan pengajian iaitu lebih kurang pada usia 23 hingga 24 tahun. Tentunya mereka perlu mendapatkan pekerjaan dan mengumpulkan sedikit wang sebelum menamatkan zaman bujang. Ini mungkin memerlukan dua atau tiga tahun. Maka, mahu tidak mahu, mereka hanya boleh berkahwin pada usia 26 atau 27 tahun. Maka, revolusi pendidikan ini adalah satu sebab mengapa perkahwinan tertangguh.
Faktor kedua ialah peluang pekerjaan yang terbuka luas untuk wanita. Faktor ini mungkin lebih mempengaruhi wanita berbanding lelaki kerana ia membolehkan wanita berdikari. Peluang pekerjaan yang terbuka luas ini membolehkan wanita menceburkan diri dalam bidang pekerjaan, baik yang profesional mahupun yang tidak profesional. Dengan bekerja, mereka mempunyai sumber pendapatan sendiri yang membolehkan mereka berdikari tanpa perlu bergantung kepada keluarga mahupun suami. Jika suatu masa dahulu, motivasi untuk mempercepatkan perkahwinan bagi wanita ialah supaya ia dapat meringankan beban keluarga kerana ditanggung oleh suami, kini dengan bekerja, ia tidak perlu berkahwin untuk meringankan beban keluarga. Memadai dengan bekerja, ia dapat meringankan beban keluarga, malah akan dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga.
Bagi wanita yang berpendapatan sendiri ini, ada di antaranya yang ingin merasa 'pegang' duit dahulu. Maka, ini juga akan menyebabkan perkahwinan tertangguh. Bagi wanita professional pula, dedikasi mereka terhadap karier mungkin akan membuatkan mereka meminggirkan dahulu niat untuk berumahtangga.
Faktor ketiga ialah berkaitan dengan tanggungjawab terhadap keluarga. Ada di antara lelaki dan wanita, terutamanya anak sulung, yang menangguhkan perkahwinan kerana merasa bertanggungjawab untuk membantu keluarga. Ini lebih-lebih lagi jika kedua ibubapanya tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi. Jadi, kak long atau abang long ini, akan bekerja (sama ada selepas keluar universiti atau tamat SPM) untuk meringankan beban keluarga. Hanya bila adik-adik mereka semuanya telah menamatkan persekolahan, barulah mereka memikirkan tentang perkahwinan. Seringkali kita dapati bagi orang-orang seperti ini, adik-adiknya yang berkahwin dahulu. Malah, bagi wanita pula, ramai yang terus membujang kerana pada masa adik-adiknya selesai sekolah, mereka telah `terlalu tua' untuk berkahwin.
Selain itu, perkahwinan juga akan tertangguh sekiranya individu tersebut, baik lelaki mahupun wanita, mempunyai jangkaan-jangkaan yang terlalu tinggi tentang perkahwinan. Sebagai contoh, seorang wanita inginkan lelaki yang kacak, segak, kaya, berpendidikan dan pemurah sebagai buah hatinya. Begitu juga, seorang lelaki mengimpikan seorang wanita yang cantik, tinggi lampai, rambut ikal mayang, pandai memasak dan seumpamanya. Bila kita mempunyai jangkaan yang hebat-hebat dan terlalu banyak kriteria untuk dipenuhi, tentu sahaja kita memerlukan lebih banyak masa untuk menemui lelaki atau wanita idaman kita itu. Itupun, jika orang sedemikian rupa wujud, jika tidak, alamat membujanglah kita hingga ke akhir hayat.
Hal di atas samalah seperti memilih. Dari satu segi, kita memang perlu memilih. Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci dan kita mahu perkahwinan tersebut menjadi perkahwinan kita yang pertama dan terakhir. Sudah tentu kita mahu pilihan itu tepat. Ini lebih-lebih lagi dalam kes seorang wanita kerana talak bukannya berada di tangan wanita. Jika wanita tersalah pilih, ia terpaksa hidup dengan lelaki itu sehingga ke akhir hayatnya. Walau bagaimanapun, janganlah memilih pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Seperti yang dianjurkan Islam, pilihlah yang beragama kerana jika dipilih itu yang cantik, kecantikan boleh hilang. Begitu juga jika yang dipilih itu ialah kekayaan dan keturunan. Jadi, kalau anjuran agama ini dipatuhi, insya'Allah akan bahagia.
Faktor kelima ialah hakikat bahawa keluarga pada hari ini tidak lagi mendesak anak-anaknya untuk berkahwin. Keluarga pada hari ini bukan sahaja tidak lagi mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka, tetapi juga tidak lagi begitu mendesak anak-anak mereka untuk berkahwin. Satu daripada sebabnya ialah ibubapa mendapat manfaat dari anak-anak yang bekerja itu dalam bentuk pendapatan bulanan. Sebagaimana yang kita tahu, biasanya anak-anak yang bekerja akan menghantar pulang sejumlah wang kepada kedua ibubapa. Sudah tentu ibubapa gembira mendapat wang ini. Pemberian wang ini, walaupun sedikit, akan membantu ibubapa yang kecil pendapatannya. Bagi ibubapa yang tiada masalah kewangan, mereka tetap gembira menerimanya kerana mereka tahu bahawa mereka berjaya mendidik anak-anak itu untuk mengenang budi. Tambah pula jika kita lihat kepada pelaburan ibubapa membesar dan menyekolahkan anak-anak itu. Maka sudah tentu mereka ingin 'merasa' duit anak-anak mereka.
Ibubapa yang anak-anaknya berpendidikan tinggi pula, bukan tidak mahu mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka, tetapi mereka merasakan tidak wajar untuk mengaturkan perkahwinan anak yang berpendidikan tinggi. Oleh yang demikian, jika anak tersebut tidak mencari sendiri kerana ketika di universiti sibuk belajar dan ketika bekerja sibuk dengan karier, maka tidak mustahil perkahwinannya akan ditangguhkan.
Bagi sesetengah wanita, mereka menemui kepuasan melalui karier dan bukannya melalui peranan sebagai isteri dan ibu. Wanita seperti ini berbeza dengan wanita terdahulu yang merasakan menjadi isteri dan ibu adalah sumber kepuasan yang sejati. Oleh kerana kepuasan diperolehi dari karier, tentu sahaja perkahwinan akan ditangguhkan. Tambah pula jika mereka merasakan bahawa hidup berkeluarga itu (menjadi isteri dan ibu) hanya menghalang karier mereka.
Akhirnya, mungkin ada lelaki dan wanita yang melihat tiada apa-apa yang menarik dalam perkahwinan. Pertamanya, perkahwinan dilihat sebagai menyusahkan dan mengongkong. Bagi wanita, perkahwinan sinonim dengan mengemas rumah, memasak, menjaga anak dan seumpamanya. Begitu juga bagi lelaki, setelah berkahwin mereka tidak lagi boleh bertingkahlaku seperti orang bujang. Jadi, kedua-dua lelaki dan wanita melihat perkahwinan hanya menyusahkan dan mengongkong maka lebih baik menangguhkannya dahulu jika tidakpun membujang sahaja. Ramai dari mereka yang mengambil keputusan untuk mengisi masa bujang dengan sepuas hati sebelum berkahwin.
Selain itu, terlalu banyak kisah sedih dan duka tentang perkahwinan. Kisah-kisah seperti suami mendera isteri, suami meninggalkan isteri tanpa berita, suami tidak bertanggungjawab dan sebagainya memang biasa kita dengar. Ini juga mempengaruhi keputusan wanita sama ada untuk menamatkan masa bujangnya dengan segera atau menangguhkannya.
Begitu juga, gaya hidup lelaki yang tidak meyakinkan membuatkan wanita berfikir banyak kali sebelum berkahwin. Ramai lelaki yang suka hidup bebas, gemar berpoya-poya, curang, tidak setia dan kurang bertanggungjawab menghilangkan keyakinan wanita terhadap mereka.
Faktor kegagalan dalam bercinta pula mungkin membuatkan wanita atau lelaki serik untuk bercinta lagi lalu menangguhkan perkahwinan mereka kalaupun tidak terus membujang.
Anjuran Islam Untuk Berkahwin
Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.
Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21). Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38). Demikianlah fitrah manusia, sama ada manusia biasa mahupun para Rasul, mereka tetap ingin hidup berteman dalam sebuah perkahwinan.
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga banyak sekali anjuran supaya umat Islam berkahwin. Sebagai contoh, hadis yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Hadis ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan satu sunnah dan sebagai umat Muhammad, kita perlulah mengikuti sunnah Baginda.
Kemudian dikatakan pula bahawa perkahwinan itu sebahagian dari iman seperti dalam hadis berikut yang bermaksud, "Seseorang yang menikah telah menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dengan menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang itu ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. "
Dalam konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.
Jadi, adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.
Kesan perkahwinan yang ditangguhkan
Satu daripada kesan atau akibat dari fenomena kahwin lewat ini ialah masalah ketidaksuburan. Dilaporkan, kira-kira 690, 000 orang iaitu 6.4 peratus daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan memerlukan rawatan fertiliti (Berita Harian, 27 Julai 2001, ms. 9). Salah satu faktor yang menyumbang kepada angka ini menurut Ketua Pengarah LPPKN dalam laporan tersebut ialah penangguhan umur perkahwinan wanita (hingga 23 tahun) yang menjadi kecenderungan dalam masyarakat negara ini.
Kesimpulan
Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyeru agar semua rakyat Malaysia berkahwin pada usia muda. Ini kerana terbukti bahawa dalam sesetengah keadaan, penangguhan perkahwinan tidak dapat dielakkan. Misalnya, ketika melanjutkan pelajaran atau ketika menanggung keluarga. Sebaliknya, tulisan ini bertujuan untuk menyedarkan beberapa pihak tentang beberapa perkara.
Pertama kepada individu, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah. Janganlah tuntutan agama ini ditangguh-tangguh demi untuk mendapatkan keseronokan hidup membujang yang tidak akan ada penghujungnya. Ikhtiarkanlah melalui saluran-saluran yang baik dan sopan agar jodoh itu dipertemukan.
Selain itu, sebagai individu, kita perlu melihat perkahwinan dengan perspektif yang betul. Perkahwinan sebagai satu tuntutan agama perlu menjadi idaman kita dan bukan menjadi kebencian kita. Ingatlah kepada sepotong hadis yang bermaksud, "Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia tidak termasuk golonganku. Di antara sunnahku ialah perkahwinan, maka barangsiapa mencintaiku hendaklah ia mengikuti sunnahku." Jadi, elakkanlah diri dari membenci perkahwinan. Walaupun ada banyak kisah sedih dan menakutkan di sebalik perkahwinan tetapi ia bukan kerana perkahwinan itu tidak baik, sebaliknya kerana orang-orang yang berkahwin itu tidak melaksanakan apa yang dituntut dari perkahwinan. Takkanlah kerana nyamuk, kita rasa kelambu itu tiada manfaatnya. Nyamuk akan sentiasa ada tetapi jika kita pastikan bahawa kelambu itu tidak terkoyak dan ia dipasang dengan baik, insya'Allah kita akan mendapati bahawa kelambu itu memenuhi fungsinya.
Bagi wanita yang merasakan mereka boleh hidup sendiri tanpa suami, ingatlah bahawa perkahwinan dalam Islam mempunyai banyak tujuan, bukan untuk mendapatkan tempat bergantung semata-mata. Melalui perkahwinan, bukan sahaja nafkah wanita ditanggung, tetapi keselamatannya juga terjaga. Melalui perkahwinan juga, wanita mendapat teman hidup yang melaluinya diperolehi kasih-sayang dan ketenangan. Melalui perkahwinan juga, seks 'satu naluri manusia' terpenuhi dengan cara yang halal dan dari situ zuriat dilahirkan dan keturunan manusia berkembang biak. Jadi, rasa berdikari yang diperolehi dari gaji itu tidak sama dengan ketenteraman hati yang diperolehi dari perkahwinan seperti yang dijanjikan oleh Tuhan.
Kepada ibubapa, mainkanlah peranan dalam hal ini kerana ia juga satu tanggungjawab ibubapa kepada anak-anaknya. Jadi, bila anak-anak itu sudah dewasa dan mampu, suruhlah mereka berkahwin. Tanyakanlah pada mereka apakah mereka mahu kita mencarikan pasangan atau mereka boleh mencarinya sendiri. Kadangkala anak-anak ini malu untuk bersuara. Jadi, dengan ibubapa yang memulakannya dahulu, ianya lebih mudah untuk diteruskan
Catat Ulasan
Terima kasih kerana meninggalkan jejak
0 ulasan: