18 Jun 2011,saya telah selamat di nikah dengan Shahrul Izhan..moga pernikahan kami dirahmati di dunia dan akhirat ....
"Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, ia diambil  orang." Begitulah, antara lain, senikata lagu "Jangan Tunggu Lama-lama"  nyanyian kumpulan Alleycats yang popular pada tahun 80an dahulu. Lagu  ini menasihatkan para lelaki yang sudah mempunyai kekasih supaya  cepat-cepat berkahwin agar kekasihnya itu tidak jatuh ke tangan orang  lain. Dalam Islam, perkahwinan perlu dicepatkan bukan kerana bimbang  kekasih jatuh ke tangan orang lain, tetapi kerana itulah yang dituntut  oleh agama kerana dipercayai perkahwinan dapat menjauhkan manusia dari  maksiat. 
Walaupun lagu ini sudah berada di  khalayak kita sejak 20 tahun yang lalu tetapi seolah-olah masyarakat  kita tidak mengambil mesejnya kerana apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Statistik yang ada menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia berkahwin di  usia yang semakin lewat. Perangkaan terbaru yang diperolehi daripada  Banci Penduduk dan Perumahan 2000 membuktikan keadaan ini. 
JADUAL 1: PERATUS GOLONGAN YANG BELUM BERKAHWIN
Jangkamasa Golongan muda(20 - 34 tahun)(%) Wanita(20 - 34 tahun)(%)
1981 - 1990 43.2 60.2
1991 - 2000 48.1 68.5
* Sumber: Diubahsuai dari "Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2.
Jangkamasa Golongan muda(20 - 34 tahun)(%) Wanita(20 - 34 tahun)(%)
1981 - 1990 43.2 60.2
1991 - 2000 48.1 68.5
* Sumber: Diubahsuai dari "Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2.
Jadual  di atas menunjukkan bahawa berlaku peningkatan kepada peratusan  golongan muda (20 - 34 tahun) yang belum berkahwin dan peratusan wanita  (20 - 34 tahun) yang belum berkahwin di antara tahun 1981 - 1991 dan  1991 - 2000. 
Fenomena melewatkan perkahwinan ini  sebenarnya berlaku kepada kedua-dua jantina. Ini dapat dilihat dari  statistik umur minima perkahwinan pertama. 
JADUAL 2 : UMUR MINIMA PERKAHWINAN PERTAMA
Tahun Lelaki (tahun) Wanita (tahun)
1980 26.2 23.5
1991 28.2 24.7
1994 Tidak dinyatakan 24.9
2000 28.6 25.1
*Sumber: Diubahsuai dari
'Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2. dan kertaskerja yang bertajuk "The Family in the 21st Century. Country Perspective : Malaysia" yang dibentangkan oleh Fatimah Saad di International Family Conference yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Oktober 2001.
Tahun Lelaki (tahun) Wanita (tahun)
1980 26.2 23.5
1991 28.2 24.7
1994 Tidak dinyatakan 24.9
2000 28.6 25.1
*Sumber: Diubahsuai dari
'Wanita muda tidak mahu kahwin meningkat", Berita Harian, 7 November 2001, ms. 2. dan kertaskerja yang bertajuk "The Family in the 21st Century. Country Perspective : Malaysia" yang dibentangkan oleh Fatimah Saad di International Family Conference yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Oktober 2001.
Jadual di atas  menunjukkan kecenderungan berkahwin lewat dalam masyarakat sama ada di  kalangan lelaki mahupun wanita. Sebagai contoh, pada tahun 1980,  rata-rata wanita berkahwin pada usia 23 tahun manakala lelaki berkahwin  pada usia 26 tahun. Tetapi, pada tahun 2000, rata-rata wanita berkahwin  lebih lambat iaitu pada usia 25 tahun manakala lelaki berkahwin pada  usia 28 tahun. 
Jadi, melalui kedua-dua statistik  ini didapati bahawa memang ada kecenderungan di kalangan ahli masyarakat  untuk berkahwin lewat. 
Punca-punca Perkahwinan Ditangguhkan 
Banyak  sebab mengapa perkahwinan ditangguhkan. Malah, kita akan dapati bahawa  punca-punca ini sama sahaja di kalangan wanita dan lelaki. 
Pertama  ialah faktor revolusi pendidikan. Berbanding dengan zaman dahulu,  majoriti orang muda kini melanjutkan pelajaran sehingga ke Tingkatan 5.  Jadi, mereka perlu menunggu sehingga tamat sekolah sebelum boleh  berkahwin dan ini bermaksud sehingga berusia 17 tahun. Bagi yang  menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi, tempoh menunggu ini  dilewatkan lagi sehingga mereka menamatkan pengajian iaitu lebih kurang  pada usia 23 hingga 24 tahun. Tentunya mereka perlu mendapatkan  pekerjaan dan mengumpulkan sedikit wang sebelum menamatkan zaman bujang.  Ini mungkin memerlukan dua atau tiga tahun. Maka, mahu tidak mahu,  mereka hanya boleh berkahwin pada usia 26 atau 27 tahun. Maka, revolusi  pendidikan ini adalah satu sebab mengapa perkahwinan tertangguh. 
Faktor  kedua ialah peluang pekerjaan yang terbuka luas untuk wanita. Faktor  ini mungkin lebih mempengaruhi wanita berbanding lelaki kerana ia  membolehkan wanita berdikari. Peluang pekerjaan yang terbuka luas ini  membolehkan wanita menceburkan diri dalam bidang pekerjaan, baik yang  profesional mahupun yang tidak profesional. Dengan bekerja, mereka  mempunyai sumber pendapatan sendiri yang membolehkan mereka berdikari  tanpa perlu bergantung kepada keluarga mahupun suami. Jika suatu masa  dahulu, motivasi untuk mempercepatkan perkahwinan bagi wanita ialah  supaya ia dapat meringankan beban keluarga kerana ditanggung oleh suami,  kini dengan bekerja, ia tidak perlu berkahwin untuk meringankan beban  keluarga. Memadai dengan bekerja, ia dapat meringankan beban keluarga,  malah akan dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga. 
Bagi  wanita yang berpendapatan sendiri ini, ada di antaranya yang ingin  merasa 'pegang' duit dahulu. Maka, ini juga akan menyebabkan perkahwinan  tertangguh. Bagi wanita professional pula, dedikasi mereka terhadap  karier mungkin akan membuatkan mereka meminggirkan dahulu niat untuk  berumahtangga. 
Faktor ketiga ialah berkaitan  dengan tanggungjawab terhadap keluarga. Ada di antara lelaki dan wanita,  terutamanya anak sulung, yang menangguhkan perkahwinan kerana merasa  bertanggungjawab untuk membantu keluarga. Ini lebih-lebih lagi jika  kedua ibubapanya tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi. Jadi,  kak long atau abang long ini, akan bekerja (sama ada selepas keluar  universiti atau tamat SPM) untuk meringankan beban keluarga. Hanya bila  adik-adik mereka semuanya telah menamatkan persekolahan, barulah mereka  memikirkan tentang perkahwinan. Seringkali kita dapati bagi orang-orang  seperti ini, adik-adiknya yang berkahwin dahulu. Malah, bagi wanita  pula, ramai yang terus membujang kerana pada masa adik-adiknya selesai  sekolah, mereka telah `terlalu tua' untuk berkahwin. 
Selain  itu, perkahwinan juga akan tertangguh sekiranya individu tersebut, baik  lelaki mahupun wanita, mempunyai jangkaan-jangkaan yang terlalu tinggi  tentang perkahwinan. Sebagai contoh, seorang wanita inginkan lelaki yang  kacak, segak, kaya, berpendidikan dan pemurah sebagai buah hatinya.  Begitu juga, seorang lelaki mengimpikan seorang wanita yang cantik,  tinggi lampai, rambut ikal mayang, pandai memasak dan seumpamanya. Bila  kita mempunyai jangkaan yang hebat-hebat dan terlalu banyak kriteria  untuk dipenuhi, tentu sahaja kita memerlukan lebih banyak masa untuk  menemui lelaki atau wanita idaman kita itu. Itupun, jika orang  sedemikian rupa wujud, jika tidak, alamat membujanglah kita hingga ke  akhir hayat. 
Hal di atas samalah seperti  memilih. Dari satu segi, kita memang perlu memilih. Perkahwinan adalah  satu ikatan yang suci dan kita mahu perkahwinan tersebut menjadi  perkahwinan kita yang pertama dan terakhir. Sudah tentu kita mahu  pilihan itu tepat. Ini lebih-lebih lagi dalam kes seorang wanita kerana  talak bukannya berada di tangan wanita. Jika wanita tersalah pilih, ia  terpaksa hidup dengan lelaki itu sehingga ke akhir hayatnya. Walau  bagaimanapun, janganlah memilih pada perkara-perkara yang tidak  sepatutnya. Seperti yang dianjurkan Islam, pilihlah yang beragama kerana  jika dipilih itu yang cantik, kecantikan boleh hilang. Begitu juga jika  yang dipilih itu ialah kekayaan dan keturunan. Jadi, kalau anjuran  agama ini dipatuhi, insya'Allah akan bahagia. 
Faktor  kelima ialah hakikat bahawa keluarga pada hari ini tidak lagi mendesak  anak-anaknya untuk berkahwin. Keluarga pada hari ini bukan sahaja tidak  lagi mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka, tetapi juga tidak lagi  begitu mendesak anak-anak mereka untuk berkahwin. Satu daripada sebabnya  ialah ibubapa mendapat manfaat dari anak-anak yang bekerja itu dalam  bentuk pendapatan bulanan. Sebagaimana yang kita tahu, biasanya  anak-anak yang bekerja akan menghantar pulang sejumlah wang kepada kedua  ibubapa. Sudah tentu ibubapa gembira mendapat wang ini. Pemberian wang  ini, walaupun sedikit, akan membantu ibubapa yang kecil pendapatannya.  Bagi ibubapa yang tiada masalah kewangan, mereka tetap gembira  menerimanya kerana mereka tahu bahawa mereka berjaya mendidik anak-anak  itu untuk mengenang budi. Tambah pula jika kita lihat kepada pelaburan  ibubapa membesar dan menyekolahkan anak-anak itu. Maka sudah tentu  mereka ingin 'merasa' duit anak-anak mereka. 
Ibubapa  yang anak-anaknya berpendidikan tinggi pula, bukan tidak mahu  mencarikan pasangan untuk anak-anak mereka, tetapi mereka merasakan  tidak wajar untuk mengaturkan perkahwinan anak yang berpendidikan  tinggi. Oleh yang demikian, jika anak tersebut tidak mencari sendiri  kerana ketika di universiti sibuk belajar dan ketika bekerja sibuk  dengan karier, maka tidak mustahil perkahwinannya akan ditangguhkan. 
Bagi  sesetengah wanita, mereka menemui kepuasan melalui karier dan bukannya  melalui peranan sebagai isteri dan ibu. Wanita seperti ini berbeza  dengan wanita terdahulu yang merasakan menjadi isteri dan ibu adalah  sumber kepuasan yang sejati. Oleh kerana kepuasan diperolehi dari  karier, tentu sahaja perkahwinan akan ditangguhkan. Tambah pula jika  mereka merasakan bahawa hidup berkeluarga itu (menjadi isteri dan ibu)  hanya menghalang karier mereka. 
Akhirnya, mungkin  ada lelaki dan wanita yang melihat tiada apa-apa yang menarik dalam  perkahwinan. Pertamanya, perkahwinan dilihat sebagai menyusahkan dan  mengongkong. Bagi wanita, perkahwinan sinonim dengan mengemas rumah,  memasak, menjaga anak dan seumpamanya. Begitu juga bagi lelaki, setelah  berkahwin mereka tidak lagi boleh bertingkahlaku seperti orang bujang.  Jadi, kedua-dua lelaki dan wanita melihat perkahwinan hanya menyusahkan  dan mengongkong maka lebih baik menangguhkannya dahulu jika tidakpun  membujang sahaja. Ramai dari mereka yang mengambil keputusan untuk  mengisi masa bujang dengan sepuas hati sebelum berkahwin. 
Selain  itu, terlalu banyak kisah sedih dan duka tentang perkahwinan.  Kisah-kisah seperti suami mendera isteri, suami meninggalkan isteri  tanpa berita, suami tidak bertanggungjawab dan sebagainya memang biasa  kita dengar. Ini juga mempengaruhi keputusan wanita sama ada untuk  menamatkan masa bujangnya dengan segera atau menangguhkannya. 
Begitu  juga, gaya hidup lelaki yang tidak meyakinkan membuatkan wanita  berfikir banyak kali sebelum berkahwin. Ramai lelaki yang suka hidup  bebas, gemar berpoya-poya, curang, tidak setia dan kurang  bertanggungjawab menghilangkan keyakinan wanita terhadap mereka. 
Faktor  kegagalan dalam bercinta pula mungkin membuatkan wanita atau lelaki  serik untuk bercinta lagi lalu menangguhkan perkahwinan mereka kalaupun  tidak terus membujang. 
Anjuran Islam Untuk Berkahwin 
Islam  adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama  tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya  cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia. 
Islam  melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap  manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan  berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini  berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21). Melalui perkahwinan juga, Allah  mengurniakan manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia  berkembangbiak (an-Nahl: 72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman  di dalam al-Quran tentang kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga  (ar-Ra'd: 38). Demikianlah fitrah manusia, sama ada manusia biasa  mahupun para Rasul, mereka tetap ingin hidup berteman dalam sebuah  perkahwinan. 
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga  banyak sekali anjuran supaya umat Islam berkahwin. Sebagai contoh, hadis  yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa  tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Hadis  ini menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan satu sunnah dan sebagai  umat Muhammad, kita perlulah mengikuti sunnah Baginda. 
Kemudian  dikatakan pula bahawa perkahwinan itu sebahagian dari iman seperti  dalam hadis berikut yang bermaksud, "Seseorang yang menikah telah  menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah  dengan menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam  al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan perkahwinan, seseorang itu  akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau akhlaknya.  Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang itu  ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan  terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. " 
Dalam  konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau  bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu  boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis  Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki  kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu  menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu,  hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis  ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan  ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh  berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya. 
Jadi,  adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan  perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah  lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah  berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula  jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan  hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya  bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan  kita kepada perkara-perkara yang tidak baik. 
Kesan perkahwinan yang ditangguhkan 
Satu  daripada kesan atau akibat dari fenomena kahwin lewat ini ialah masalah  ketidaksuburan. Dilaporkan, kira-kira 690, 000 orang iaitu 6.4 peratus  daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan  memerlukan rawatan fertiliti (Berita Harian, 27 Julai 2001, ms. 9).  Salah satu faktor yang menyumbang kepada angka ini menurut Ketua  Pengarah LPPKN dalam laporan tersebut ialah penangguhan umur perkahwinan  wanita (hingga 23 tahun) yang menjadi kecenderungan dalam masyarakat  negara ini. 
Kesimpulan 
Tulisan  ini bukan bertujuan untuk menyeru agar semua rakyat Malaysia berkahwin  pada usia muda. Ini kerana terbukti bahawa dalam sesetengah keadaan,  penangguhan perkahwinan tidak dapat dielakkan. Misalnya, ketika  melanjutkan pelajaran atau ketika menanggung keluarga. Sebaliknya,  tulisan ini bertujuan untuk menyedarkan beberapa pihak tentang beberapa  perkara. 
Pertama kepada individu, kalau sudah  berkemampuan, kahwinlah. Janganlah tuntutan agama ini ditangguh-tangguh  demi untuk mendapatkan keseronokan hidup membujang yang tidak akan ada  penghujungnya. Ikhtiarkanlah melalui saluran-saluran yang baik dan sopan  agar jodoh itu dipertemukan. 
Selain itu, sebagai  individu, kita perlu melihat perkahwinan dengan perspektif yang betul.  Perkahwinan sebagai satu tuntutan agama perlu menjadi idaman kita dan  bukan menjadi kebencian kita. Ingatlah kepada sepotong hadis yang  bermaksud, "Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia tidak termasuk  golonganku. Di antara sunnahku ialah perkahwinan, maka barangsiapa  mencintaiku hendaklah ia mengikuti sunnahku." Jadi, elakkanlah diri dari  membenci perkahwinan. Walaupun ada banyak kisah sedih dan menakutkan di  sebalik perkahwinan tetapi ia bukan kerana perkahwinan itu tidak baik,  sebaliknya kerana orang-orang yang berkahwin itu tidak melaksanakan apa  yang dituntut dari perkahwinan. Takkanlah kerana nyamuk, kita rasa  kelambu itu tiada manfaatnya. Nyamuk akan sentiasa ada tetapi jika kita  pastikan bahawa kelambu itu tidak terkoyak dan ia dipasang dengan baik,  insya'Allah kita akan mendapati bahawa kelambu itu memenuhi fungsinya. 
Bagi  wanita yang merasakan mereka boleh hidup sendiri tanpa suami, ingatlah  bahawa perkahwinan dalam Islam mempunyai banyak tujuan, bukan untuk  mendapatkan tempat bergantung semata-mata. Melalui perkahwinan, bukan  sahaja nafkah wanita ditanggung, tetapi keselamatannya juga terjaga.  Melalui perkahwinan juga, wanita mendapat teman hidup yang melaluinya  diperolehi kasih-sayang dan ketenangan. Melalui perkahwinan juga, seks  'satu naluri manusia' terpenuhi dengan cara yang halal dan dari situ  zuriat dilahirkan dan keturunan manusia berkembang biak. Jadi, rasa  berdikari yang diperolehi dari gaji itu tidak sama dengan ketenteraman  hati yang diperolehi dari perkahwinan seperti yang dijanjikan oleh  Tuhan. 
Kepada ibubapa, mainkanlah peranan dalam  hal ini kerana ia juga satu tanggungjawab ibubapa kepada anak-anaknya.  Jadi, bila anak-anak itu sudah dewasa dan mampu, suruhlah mereka  berkahwin. Tanyakanlah pada mereka apakah mereka mahu kita mencarikan  pasangan atau mereka boleh mencarinya sendiri. Kadangkala anak-anak ini  malu untuk bersuara. Jadi, dengan ibubapa yang memulakannya dahulu,  ianya lebih mudah untuk diteruskan

 




 






 
 

Catat Ulasan
Terima kasih kerana meninggalkan jejak
0 ulasan: